UMNO 79 Tahun: Khidmat Untuk Semua, Bukan Hanya Ahli Parti – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan bahawa jasa UMNO bukan hanya dinikmati oleh ahlinya, malah turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Menurut beliau, perjuangan UMNO dalam mendapatkan kemerdekaan negara telah membawa manfaat kepada semua rakyat, bukan hanya kepada orang Melayu.
Jelasnya, jasa UMNO bukan hanya kepada ahlinya, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Usaha mendapatkan kemerdekaan bukan sahaja dinikmati oleh ahli UMNO atau orang Melayu, malah seluruh rakyat dalam negara ini menerima nikmat daripada perjuangan UMNO.
Mengulas dakwaan bahawa UMNO telah menyimpang daripada perjuangan asal, beliau menolak pandangan itu sebagai tidak berasas. Katanya, UMNO masih berpegang teguh kepada dasar perjuangannya sejak 79 tahun lalu dan tidak pernah berubah hingga ke hari ini. UMNO tidak dilahirkan untuk mana-mana pemimpin, sebaliknya ditubuhkan demi agama, bangsa dan tanah air. Oleh itu, semua kaum berada dalam lingkungan perjuangan ini untuk bersama-sama memakmurkan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan asas perjuangan parti. Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak sedikit pun melunturkan asas perjuangan parti. Ia tidak pernah tergugat dan tidak lari daripada landasan asal.
Katanya lagi, terdapat usaha pihak tertentu yang mempunyai niat tertentu untuk melemahkan UMNO dengan menghalalkan segala cara demi menyingkirkan pemimpin UMNO serta menghancurkan parti itu.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Ahmad Jazlan turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO kekal sebagai parti terbaik untuk memperjuangkan serta mempertahankan agama, institusi Raja-Raja Melayu dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat perlu yakin bahawa UMNO adalah parti terbaik — satu saluran utama (‘vertical’) untuk mencapai cita-cita bangsa dalam usaha memperkukuh kedudukan agama, mempertahankan institusi Raja-Raja, serta menghormati Perlembagaan termasuk Rukun Negara yang diamalkan hari ini.
Kita yakin bahawa sekiranya UMNO kembali berada di puncak kuasa, Insya-Allah… keadaan akan berubah dan bertambah baik.
Mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kita semua manusia dan tidak sunyi daripada kekhilafan. Namun yang paling penting ialah apabila kita tersesat, kita tahu untuk kembali ke pangkal jalan. Apabila kita kehilangan sesuatu yang bernilai, kita berusaha untuk mendapatkannya kembali,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa usaha untuk mengembalikan kedudukan UMNO sebagai parti peneraju negara bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia memerlukan kesabaran dan usaha berterusan, bukan hanya daripada para pemimpin, tetapi juga daripada seluruh ahli UMNO yang sedar akan pentingnya peranan parti ini dalam memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.
“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei,” ujarnya. – UMNO Online