79 Tahun Perjuangan, UMNO Tetap Teguh Pertahan Dasar, Asas dan Tujuan Asal – Mohd Zaidy
JEMPOL, 8 Mei – Menjelang ulang tahun ke-79 penubuhannya pada 11 Mei ini, UMNO terus komited mempertahankan dasar perjuangan yang menjadi asas sejak penubuhannya pada tahun 1946, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran politik semasa dan landskap politik yang sentiasa berubah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan, UMNO tidak pernah menyimpang daripada prinsip asal perjuangannya demi memenuhi kehendak mana-mana pihak atau tekanan politik semasa.
“UMNO tetap mempertahankan Dasar Islam, kedudukan Melayu-Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu. Prinsip-prinsip ini menjadi tunjang utama yang tidak akan dikompromi, meskipun UMNO kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambah beliau, demi menjaga keutuhan dasar perjuangan parti, UMNO telah menetapkan syarat agar semua pemimpin daripada 18 parti politik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, termasuk Dap, menandatangani perjanjian persefahaman untuk tidak menyentuh isu-isu berkaitan Islam, hak Melayu-Bumiputera dan Raja-Raja Melayu.
“UMNO tegas dalam pendirian, sebagai contoh ketika pemimpin Dap, YB Ngeh Ko Ham mencadangkan pelantikan wakil bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syariah, UMNO membantah keras dan akhirnya cadangan itu ditarik balik.”
Selain itu katanya, UMNO turut berperanan aktif dalam memperjuangkan masa depan generasi muda Melayu/Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan modal insan.
“UMNO memberi keutamaan kepada pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), memperkasa peranan MARA, serta memperkukuh pendidikan Islam dari peringkat awal termasuk melalui tadika dan program tahfiz cilik sebagaimana yang dilaksana oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri.
“Terbaru, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta kepimpinan MARA yang telah mengadakan kunjungan rasmi ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam memperkasa agenda pendidikan membabitkan generasi muda khususnya Melayu/bumiputera,” ujar Datuk Mohd Zaidy.
Katanya lagi, sepanjang hampir lapan dekad kewujudan, UMNO tetap konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat tanpa mengorbankan prinsip yang telah menjadi asas penubuhannya.
“UMNO bukan sahaja parti politik, tetapi wadah perjuangan bangsa yang terus kekal relevan membina negara dan mempertahankan maruah umat.
“Walaupun UMNO telah melalui pelbagai dugaan daripada era kegemilangan, jatuh sebagai pembangkang, dan kini kembali bersama dalam Kerajaan Perpaduan namun perjuangan UMNO tetap utuh dan tidak pernah berganjak dari asasnya.
“Parti ini terus konsisten mempertahankan agama, bangsa dan tanah air demi generasi hari ini dan masa depan,” tegasnya lagi. – UMNO Online