Sekolah Patriotik UMNO Pupuk Patriotisme Dan Cintakan Negara – Manndzri
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia, khususnya ahli parti UMNO perlu memahami pendidikan kenegaraan.
Menurut beliau, penubuhan Sekolah Patriotik UMNO adalah platform penting untuk memupuk kefahaman mendalam mengenai kenegaraan dan mendorong pelajarnya memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara.
Justeru itu beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata, Sekolah Patriotik UMNO merupakan sebahagian daripada persaingan yang sihat antara parti-parti lain dalam menawarkan ‘doktrin’ yang sesuai untuk rakyat.
“Sekolah Patriotik UMNO adalah sebahagian daripada persaingan sihat dengan parti-parti lain dan ‘doktrin’ siapa yang paling tepat untuk negara.
“Namun… Sekolah Patriotik UMNO membawa nilai dan pendekatan yang berbeza, ia berada di garis tengah dan jelas dalam takrifannya,” katanya kepada UMNO Online.
Ulasnya lagi, ia juga berkait rapat dengan pemilihan pemimpin bagi masa hadapan oleh rakyat terutama ketika pilihan raya.
“Kriteria pemimpin yang dipilih mestilah sesuai dengan cabaran masa hadapan negara. Dalam mendepani pelbagai cabaran, rakyat memerlukan naratif dan kejelasan tentang bagaimana membuat keputusan yang bijak serta bagaimana memberikan ‘respon’ kepada dasar-dasar kerajaan yang memberi impak baik kepada rakyat dan negara.
“Terdapat parti yang membawa naratif tidak popular tetapi penting demi kepentingan negara. Ada juga keputusan yang terpaksa dibuat untuk rakyat walaupun perlu mengorbankan sedikit demi manfaat jangka panjang negara,” katanya.
Untuk rekod, UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan penyertaan 48 orang pelajar. – UMNO Online