Malaysia Lihat Potensi Besar Kembangkan Pasaran Minyak Sawit Di Rantau EAC
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas jejak pasaran minyak sawit di rantau Komuniti Afrika Timur, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah bertemu dengan Setiausaha Kabinet Kementerian Pelaburan Kenya, Yang Berhormat Lee Kinyanjui untuk membincangkan peluasan perdagangan dua hala khususnya dalam sektor minyak sawit.
“Sebahagian daripada kunjungan saya ke Kenya, saya berbesar hati dapat bertemu dengan Yang Berhormat Lee Kinyanjui, Setiausaha Kabinet Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Kenya untuk membincangkan peluasan perdagangan dua hala, khususnya dalam sektor minyak sawit.
“Pada tahun 2024, minyak sawit dan produk berkaitan menyumbang hampir 95 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Kenya, dengan nilai mencecah RM5.2 bilion,” katanya.
Jelasnya, Kenya juga telah menyatakan minat untuk meneroka penubuhan fasiliti pemprosesan minyak sawit di Mombasa Industrial Park bagi merancakkan perdagangan bersama.
“Memandangkan peranan strategik Kenya sebagai anggota EAC, kita melihat potensi besar untuk memperluas jejak pasaran minyak sawit Malaysia di rantau ini, termasuk ke negara-negara seperti Uganda dan Tanzania.
“Kenya juga telah menyatakan minat untuk meneroka penubuhan fasiliti pemprosesan minyak sawit di Mombasa Industrial Park, satu langkah yang berpotensi merancakkan perdagangan bersama,” katanya.
Pada Selasa media melaporkan Johari mengetuai delegasi Malaysia ke Kenya untuk lawatan kerja sehingga 8 Mei ini bagi mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya.
Terdahulu, beliau dilaporkan telah melawat Unilever Kenya, sebuah hab utama pengedaran produk berasaskan minyak sawit Unilever di seluruh Afrika Timur.
Lawatan itu sebahagian daripada misi ekonomi dan teknikal rasmi ke Kenya, sekali gus memperkukuh hubungan negara dengan Unilever untuk memajukan minyak sawit lestari di Afrika Timur.
Johari berkata, Unilever, salah satu syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terkemuka di dunia, mengeluarkan pelbagai jenama isi rumah termasuk Knorr, Magnum, Dove, Vaseline, Lux dan Lifebuoy. – UMNO Online