UMNO Bukan Sekadar Nama, Bawa Perjuangan Suara Dan Denyut Nadi Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang melangkui perjuangannya dalam mengangkat perjuangan orang Melayu.

Katanya, menjengah ke-79 tahun pada 11 Mei ini UMNO telah melalui pelbagai cabaran sejak awal politik baktinya yang memainkan peranan penting kepada kemerdekaan Tanah Melayu sehingga ke hari ini dalam mendepani landskap berbeza.

“Alhamdulillah… hari ini UMNO kita genap 79 tahun. Sudah dekat lapan dekad perjuangan dari zaman memperjuangkan kemerdekaan, ke zaman membina negara dan sampai ke hari ini… kita masih teguh berdiri.

“UMNO ini bukan sekadar nama. Ia satu semangat, suara dan denyut nadi orang Melayu. Kekuatan sebenar UMNO, bukan pada kerusi atau pangkat tapi pada akar umbi pada kita semua, yang setia, yang berjuang tanpa mengira siang malam.

“Kita pernah diuji, jatuh tapi alhamdulillah, kita bangkit. Hari ini kita terus berjuang dan yakinlah semua yang kita lakukan, demi kestabilan, demi rakyat, demi masa depan anak cucu kita,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Ibnu Rasyeed dalam pada itu turut sama menyeru akar umbi parti untuk bersetia dengan merapatkan ukhuwah sesama keluarga besar UMNO.

Mengulas beliau ia penting untuk terus membawa perjuangan parti untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

“Saya nak ambil kesempatan ni untuk ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua jentera, penyokong, ahli lama dan baru yang terus percaya pada perjuangan ini.

“Ayuh kita perkukuh saf, rapatkan barisan dan terus membawa suara rakyat dengan jujur, berani dan ikhlas. UMNO mesti jadi parti yang orang nampak berwibawa, bersih dan bekerja,” ujar beliau.

Untuk rekod, ulang tahun UMNO disambut setiap tahun pada 11 Mei sebagai manifestasi ahli parti menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platform memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79