Peranan UMNO Besar Dalam Kerajaan Perpaduan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 9 Mei – UMNO sebagai parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan terus menegaskan komitmennya dalam memperjuangkan agenda Islam serta prinsip ABATA (Agama, Bangsa dan Tanah Air).

Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata UMNO tidak pernah sekali-kali berkompromi dalam soal mempertahankan martabat Islam.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah mengingatkan kepada seluruh kepimpinan parti bahawa sebarang usaha untuk mengubah atau merendahkan kedudukan Islam dalam negara akan ditentang habis-habisan.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa UMNO tidak akan berkompromi dalam mempertahankan martabat Islam. Parti sedia menghentikan kerjasama dengan mana-mana gabungan jika agenda Islam cuba dirungkai atau dicairkan.

“Penegasannya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang mana Timbalan Perdana Menteri itu menekankan bahawa UMNO sentiasa mengutamakan agenda Islam dan kepentingan bangsa Melayu/Bumiputera walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Beliau (Ahmad Zahid) juga menolak dakwaan bahawa Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan, dengan menegaskan bahawa kerajaan menitikberatkan pembangunan tanpa meminggirkan program-program keagamaan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) kerjasama strategik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah ‘langkah realpolitik’ demi kestabilan negara seterusnya bangsa Melayu/Islam terus dimartabatkan.

“UMNO melihat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sebagai langkah ‘real-politik’ demi menyelamatkan Malaysia daripada krisis lebih besar, sambil memastikan suara parti dan kaum Melayu/Islam terus didengar dan dimartabatkan.

“Parti ini memainkan peranan penting dalam mencorakkan dasar ekonomi dan menjamin kestabilan politik negara serta membantu kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang menyeluruh dan inklusif.

“Pembelaan terhadap Melayu/Islam terus menjadi inti misi parti, dengan struktur organisasi yang kukuh dari pusat bandar hingga ke kampung-kampung terpencil,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata Dr Masliha lagi, UMNO terus berkomitmen dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Bumiputera dalam landskap ekonomi negara.

“UMNO menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 sebagai agenda penting untuk mempertahankan Islam dan Bumiputera, terutamanya dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

“Peranan UMNO dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera bukan hanya sekadar usaha untuk merapatkan jurang pendapatan, tetapi juga untuk memastikan komuniti ini terus maju tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam yang menjadi teras kepada perjuangan parti,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kongres ini bukan sahaja sebagai satu platform untuk membincangkan strategi pembangunan ekonomi Bumiputera, tetapi juga sebagai medium untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai lapisan masyarakat dalam Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79