UMNO Komited Perkasa Agenda Pendidikan Generasi Muda Melayu/Bumiputera – Razlan
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii memaklumkan komitmen berterusan dilakukan kepimpinan parti dalam memperkasa agenda pendidikan membabitkan generasi muda khususnya Melayu/bumiputera.
Menurut beliau ini dibuktikan apabila hasil pertemuan dilakukan delegasi Malaysia yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta kepimpinan MARA yang telah mengadakan kunjungan rasmi ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama dua hala dengan institusi pendidikan Islam terkemuka tersebut.
“Semasa pertemuan bersama Prof Dr Salamah Abu Daud, Presiden Universiti Al-Azhar dan barisan pengurusan universiti, Malaysia memohon tambahan kuota pelajar Malaysia dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian. Delegasi juga turut mengadakan rundingan bagi memohon diskaun khas terhadap yuran pengajian.
“Alhamdulillah, beberapa bulan kemudian, pihak Universiti Al-Azhar memberikan maklum balas positif dan bersetuju untuk mengurangkan yuran pengajian khas kepada pelajar tajaan MARA; khususnya yuran pengajian bagi kursus perubatan telah dikurangkan daripada RM150,000 kepada RM85,000 bagi tempoh lima tahun pengajian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri memaklumkan usaha tersebut tidak terhenti di situ saja apabila beberapa cadangan lain turut dibawa ke pengetahuan Ahmad Zahid.
Katanya antara cadangan tersebut agar MARA dapat menyambung semula program penajaan kepada pelajar Melayu/Bumiputera dalam bidang perubatan dan pergigian di universiti berprestij itu.
“Inisiatif ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Melayu / Bumiputera untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal di bumi anbiya dengan kos yang lebih berpatutan.
“Ini adalah antara komitmen berterusan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini di bawah Kerajaan Perpaduan bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti terus dinikmati oleh generasi muda Melayu /bumiputera.
“Bukan untuk mendabik dada tetapi kejayaan seperti ini wajar disebarluaskan agar rakyat tahu kebenaran bahawa dakwaan pembangkang kononnya UMNO tidak membantu Melayu adalah satu sangkaan jahat dan tidak berasas sama sekali,” ujar beliau. – UMNO Online