Sekolah Patriotik Bina Legasi Pejuang Bangsa – Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menyifatkan Sekolah Patriotik UMNO sebagai satu wadah penting dalam membina jati diri generasi muda agar lebih memahami serta menghayati perjuangan parti.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, inisiatif ini sangat signifikan dalam memastikan nilai-nilai murni, semangat perjuangan, dan prinsip UMNO terus disemai dalam kalangan ahli muda.

 

“Sekolah Patriotik UMNO adalah satu inisiatif yang amat penting dan tepat pada masanya. Ia menjadi wahana untuk menyemai kembali semangat cintakan bangsa dan jati diri dalam kalangan generasi muda.

“Ini bukan sekadar sebuah platform latihan politik, tetapi ibarat madrasah jiwa yang menyampaikan sejarah, prinsip, dan semangat pengorbanan UMNO secara mendalam,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, UMNO yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei ini akan dirai dengan penganjuran Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan seramai 48 orang pelajar.

Hasmuni turut menekankan bahawa dalam dunia hari ini yang mudah terpengaruh dengan naratif luar serta ideologi yang boleh melemahkan jati diri bangsa, Sekolah Patriotik UMNO berperanan sebagai benteng pertahanan minda dan semangat.

“Ia melahirkan ahli yang bukan sahaja tahu, tetapi juga memahami dan bersedia untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara,” tambah beliau.

Hasmuni yang juga Pengerusi KEDA Holdings turut menyuarakan keyakinan bahawa usaha ini mampu melahirkan lebih ramai kader muda yang berani membawa suara rakyat.

“Saya percaya program ini akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai pemimpin muda yang berani dan berprinsip, serta mampu mempertahankan agenda perjuangan bangsa.

“Program sebegini wajar diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda menyertai latihan kepimpinan dan pembangunan diri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79