Syahbudin Cadang Kampus Bertaraf Universiti Di Gua Musang, Selain Pembukaan Semula KPTM
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pembukaan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dilihat mampu memberi ruang kepada pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan untuk belia luar bandar khususnya di Gua Musang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, beliau dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Kelantan turut berhasrat untuk mengangkat cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar sebuah kampus bertaraf universiti dibina di kawasan tersebut.
“Pengarah MARA Negeri Kelantan telah turun ke Gua Musang, cari bangunan sewa untuk kampus sementara dan lihat lokasi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Gua Musang. Dalam lawatan ke Gua Musang baru-baru ini TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi umumkan pembukaan semula KPTM Gua Musang yang telah ditutup sejak 2019.
“Lebih menarik apabila kali ini akan dibawa kursus-kursus TVET berasaskan industri terkini macam Robotik, Internet of Things (IoT) dan Automotif. Ketika berbincang dengan Pengarah MARA Kelantan pada Ahad, keluar idea dan cadangan bersama supaya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) diikhtiarkan dibuka disini.
“Alang-alang nak bina baharu, kita angkat cadangan kepada TPM untuk jadikan satu kampus bertaraf universiti di Gua Musang. Saya yakin Datuk Seri Jazlan Yaakub pasti sokong kerana ini juga hasrat beliau. Pengharapan setingginya kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar cadangan ini diteliti sebaiknya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kampus tersebut bakal menjadi pusat latihan kemahiran yang releven dengan pasaran kerja hari ini.
“KPTM pernah ada di Gua Musang dan diharap akan ada yang ‘lebih sedikit’ tanda sokongan TPM pada rakyat Galas dan Nenggiri. Semoga air tangan TPM berbekas di sini. Rasanya saya wajar meminta kerana rakyat Galas gagalkan usaha 45-0 yang diratib waktu Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu.
“Kampus ini bakal diuruskan oleh MARA dan bakal jadi pusat latihan kemahiran yang benar-benar relevan dengan keperluan pasaran kerja hari ini. Insya-Allah, ini langkah besar untuk buka lebih banyak ruang pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan untuk belia luar bandar khasnya bagi anak-anak Gua Musang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, KPTM Gua Musang yang ditutup sejak 2019, bakal dibuka semula dengan penawaran kursus yang lebih relevan dan berdaya saing mengikut keperluan industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata arahan untuk membuka semula KPTM itu, diberikan selepas mengambil kira keperluan pendidikan tinggi di kawasan luar bandar khususnya di Gua Musang dan seluruh Kelantan. – UMNO Online