YP Nominees Penyumbang Besar Pembangunan Negeri Perak

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata YP Nominees Holdings Sdn Bhd berperanan sebagai entiti penyumbang besar kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, semua itu dicapai hasil daripada ketekunan, strategi dan kesatuan dalam pengurusan YP Nominees bagi memacu kecemerlangannya.

“Alhamdulillah, YP Nominees telah membuktikan bahawa mereka mampu memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan profesionalisme.

“Ini membina keyakinan bahawa aset-aset strategik negeri diuruskan dengan bijak dan memberi pulangan yang lestari,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Pada Sabtu, dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya, Saarani telah merasmikan bangunan baharu anak syarikat Yayasan Perak – YP Nominess Holdings Sdn. Bhd. di Jalan Basco Kepayang, 1 Basco Avenue@Kepayang, di Ipoh.

Jelas Saarani, YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 30 Disember 1992 dan telah berkembang menjadi pemegang amanah dan pengurus pelaburan utama kepada Yayasan Perak, khususnya dalam sektor perladangan.

“Syarikat ini kini menguruskan lebih 15,969 ekar ladang kelapa sawit di Perak dan Sarawak, dengan purata pengeluaran 22 tan metrik sehektar, melebihi purata industri nasional.

“Ini membuktikan bahawa YP Nominees bukan sahaja efisien, malah cekap dan berdaya saing dalam pengurusan aset dan sumber,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.

Tambahnya lagi, dalam era yang serba mencabar hari ini, sektor perladangan juga perlu berubah seiring teknologi dan perubahan iklim.

“Justeru, saya menyokong penuh pendekatan YP Nominees yang mula memperkenalkan amalan agronomi moden — seperti sistem ladang pintar, penggunaan dron, sistem pembajaan berautomasi, dan pendekatan lestari dalam penjagaan tanah serta air.

“Keupayaan YP Nominees menjana hasil yang mampan turut diterjemahkan melalui sumbangan semula kepada rakyat.

“Keuntungan yang diperoleh tidak terhenti pada laporan kewangan atau mesyuarat lembaga semata-mata, tetapi disalurkan semula melalui pelbagai inisiatif — termasuk bantuan pendidikan, biasiswa pengajian tinggi, pembangunan belia dan pemberdayaan komuniti,” katanya.

Hal ini katanya dibuktikan melalui sumbangan bernilai RM2.22 juta pada tahun 2024 – bukan sahaja melalui sumbangan langsung kepada ekonomi negeri, tetapi juga dalam aspek kesejahteraan rakyat.

“Ia merangkumi hasil cukai sebanyak RM1.4 juta; pembayaran dividen kepada Yayasan Perak sebanyak RM500,000 dan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM317,377.

“Mudah-mudahan, YP Nominees terus tumbuh dan berkembang, sekaligus menjadi antara penyumbang penting kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit