Depani PRU16: UMNO Perlu Dominan, Peroleh Banyak Kerusi – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 2 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak untuk berazam dan bekerja dengan lebih gigih agar UMNO menjadi sebuah parti yang dominan serta memperolehi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu memperlihatkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) semakin diterima oleh rakyat.

“Bagan Datuk pada PRU ke-15 lalu kita menang dengan majoriti tiga angka. Ketika itu situasi politik memang berbeza. Di atas kertas, kalau kita campur undi bersama Pakatan Harapan (PH), tentu majoritinya lebih 20,000 di Bagan Datuk.

“Begitu juga di Ayer Kuning, kalau dicampur undi BN dan PH, kita akan peroleh 15,000 majoriti. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, itu sebelum kerjasama dengan PH. Apakan daya, yang keluar hanya 58 peratus. Kita dapat kira-kira 11,000 undi. Majoriti kita meningkat dan Bagan Datuk ingin ucapkan tahniah.

“Satu tambah satu dalam politik tidak semestinya dua. Maka kita di Bagan Datuk harus tanam azam bahawa dalam PRU ke-16, UMNO perlu dominan dan dapat kerusi terbanyak di Malaysia. Tanda-tanda itu telah ada di beberapa PRK sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Ujarnya, UMNO menjadi tunjang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan meskipun hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU ke-15 yang lalu.

“UMNO menjadi tunjang ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini. Walaupun hanya 30 kerusi, parti yang dapat lebih banyak dari kita, 73 kerusi jadi pembangkang. Kenapa kita jadi kerajaan? Ini kerana Allah sayang kepada UMNO untuk terus jadi kerajaan dalam negara kita.

“Tuhan uji kita selama 22 bulan. Kita alami itu semua. Walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, saya tidak mahu dikatakan melukut di tepi gantang. Walaupun UMNO hanya ada 26 kerusi, kita ada tujuh orang menteri, enam timbalan menteri.

“Kita terus diuji dengan pelbagai ujian. Antaranya, mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak masih berada di belakang tirai besi. Sabtu lalu kami bertemu di Penjara Kajang. Kalau ada yang menyatakan UMNO ataupun saya tidak perjuangkan nasib Najib yang dianiaya oleh sistem dan tidak memihak kepada beliau, Datuk Megat saksi hidup bahawa kita tidak akan meninggalkan Najib berseorangan,” katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi, Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya, barisan kepimpinan empat peringkat bahagian dan cawangan  serta barisan kepimpinan UMNO Negeri Selangor yang turut serta. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit