Pas ‘Serang’ UMNO Untuk Tutup Kegagalan Di PRK Ayer Kuning – Razlan
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang didakwa cuba menutup kegagalan partinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan menyerang UMNO dan menyebarkan sentimen politik kebencian.
Razlan berkata tuduhan kononnya UMNO kini “mempersuci Dap” adalah tidak berasas, malah ironi kerana Pas sendiri pernah menjalinkan kerjasama erat dengan Dap dalam era Pakatan Rakyat.
“Pas ketika itu bukan sahaja menyokong calon Dap, malah mengeluarkan arahan kepada ahli supaya mengundi mereka atas nama tahaluf siyasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UMNO konsisten mempertahankan isu-isu berkaitan agama Islam, termasuk dalam kes stoking kalimah Allah dan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia.
Razlan turut mempertahankan pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15, dengan menegaskan ia dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara. Beliau berkata UMNO memilih untuk akur kepada titah diraja, berbanding Perikatan Nasional yang menurutnya tetap mahu membentuk kerajaan sendiri.
Dalam PRK Ayer Kuning, katanya, data menunjukkan sokongan Melayu kepada Pas sebenarnya merosot, berbeza dengan dakwaan Hadi.
“Di PDM Kampung Batu Mesjid yang majoritinya pengundi Melayu, undi Pas berkurang manakala undi UMNO meningkat. Malah tiga PDM yang dimenangi Pas pada PRU lalu kini dirampas semula oleh UMNO,” katanya.
Razlan berkata UMNO tidak hanya berpolitik, sebaliknya berusaha melalui dasar seperti TVET, Dasar Tahfiz Negara 2.0 dan pembiayaan usahawan Bumiputera untuk membela bangsa dan agama.
Beliau turut menyeru Hadi agar menunjukkan akhlak lebih baik dalam politik serta berhenti memainkan naratif kebencian.
“UMNO tidak maksum, tetapi kami terus berusaha membawa perjuangan secara konkrit, bukan sekadar retorik,” katanya. – UMNO Online