Pemuda BN Ajak MCA Ke Meja Rundingan, Pertahan Muafakat
KUALA LUMPUR, 1 Mei — Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Hafiz Ariffin menyeru agar MCA kembali ke meja rundingan demi mempertahankan persahabatan politik yang telah terjalin sejak lebih tujuh dekad lalu.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara UMNO dan MCA bukan perkara baharu, malah merupakan pakatan politik paling lama dan bersejarah di negara ini, bermula sejak tahun 1952 di bawah panji Parti Perikatan.
Menurut Hafiz, kerjasama itu bukan sekadar strategi politik, tetapi satu manifestasi perpaduan antara kaum demi mencapai kemerdekaan dan membina sebuah negara bangsa yang stabil dan berbilang kaum.
“Fakta sejarah tidak boleh dipadam. Dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur tahun 1952, kerjasama UMNO-MCA berjaya menewaskan lawan dengan kemenangan besar. Ia menjadi bukti awal bahawa bila kita bersatu dan berpadu, kita mampu menewaskan sebarang cabaran,” katanya.
Beliau turut mengimbau peranan besar pemuda-pemuda UMNO dan MCA yang menjadi penggerak utama kepada kemenangan Perikatan ketika itu dengan meyakinkan rakyat pelbagai kaum untuk memberi mandat.
Tambah Hafiz, kerjasama ini diperluas dalam Pilihan Raya Umum 1955 dengan penyertaan MIC, dan hasilnya Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi Parlimen — satu pencapaian yang menunjukkan kekuatan gabungan berdasarkan perpaduan dan toleransi.
“Ya, kita kini berada dalam zaman politik yang kompleks dan mencabar. Namun janganlah kita membakar jambatan yang telah terbina kukuh lebih tujuh dekad ini. Kita telah membina negara ini bersama, mendepani krisis bersama, dan bangkit semula bersama,” katanya lagi.
Hafiz juga menegaskan bahawa MCA telah banyak menerima manfaat daripada kerjasama ini dan tidak sepatutnya menunjukkan perbezaan secara terbuka yang boleh melemahkan semangat perpaduan dalam gabungan BN.
“Pemuda-pemuda kita dahulu tidak gentar berdepan cabaran. Mereka bersatu di medan politik, hari ini kita harus terus mewarisi semangat itu,” tegasnya.
Justeru beliau mengajak perbincangan dilaksana sebagai sebuah keluarga.
“Saya mengajak rakan-rakan dalam MCA kembali ke meja rundingan. Duduk berbincang sebagai keluarga. Kita boleh berbeza pandangan, tapi jangan kita hilang arah dan semangat yang sama-sama kita bina sejak dahulu.
“Pihak lain yang bertepuk tangan hanya menunggu untuk menikam dan menangguk di air yang keruh.
“Sabar. Hargai hubungan dan persahabatan,” pesan Hafiz sebagai penutup yang menyeru kepada muafakat dan kebersamaan demi kelangsungan Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online