Malaysia Teguh Perkukuhkan Multilateralisme Dalam Mesyuarat Menteri Luar Negeri BRICS

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Malaysia terus mengukuhkan peranannya di peringkat antarabangsa apabila menyuarakan komitmen yang teguh terhadap prinsip multilateralisme dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

Mewakili Malaysia, Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah menyampaikan Kenyataan Negara dengan menekankan bahawa pendekatan pelbagai hala adalah amat penting dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks.

“Malaysia telah menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan multilateralisme, di samping memperjuangkan suara dan kepentingan negara-negara membangun, sejajar dengan objektif utama BRICS.”

Beliau turut menegaskan kesediaan Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama strategik bersama negara-negara anggota BRICS, ASEAN, dan rakan-rakan global lain.

“Menyatakan juga kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama bersama BRICS dan ASEAN serta negara-negara rakan lain selain berkongsi pandangan dan keutamaan strategik berkaitan isu-isu global yang semakin mendesak,” ujar menerusi hantaran dalam laman Facebooknya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit