Azalina Ucap Selamat Hari Pekerja, Tegaskan Komitmen Kerajaan MADANI Lindungi Hak Pekerja

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh rakyat Malaysia sambil menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja di negara ini.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja 2025, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO menyifatkan golongan pekerja sebagai “nadi dan tunjang kepada pembangunan negara”, serta mengajak seluruh rakyat untuk menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai sektor.

“Kerajaan MADANI melalui usaha reformasi undang-undang dan institusi akan terus berusaha untuk memastikan hak dan kesejahteraan setiap pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak bersatu dalam membina masa depan Malaysia yang lebih maju dan sejahtera, selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa”.

Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini terus menjadi wadah penting bagi memperingati pengorbanan dan dedikasi golongan pekerja yang memainkan peranan penting dalam kemajuan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit