“Pekerja Kesuma Bangsa”, Tonggak Kemajuan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pekerja sempena sambutan Hari Pekerja 2025, dengan menggelar mereka sebagai “Pekerja Kesuma Bangsa”

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, tenaga kerja negara, sama ada yang bertugas di pejabat, di lapangan, di kota mahupun di desa, semuanya memainkan peranan besar dalam usaha membina Malaysia yang lebih mampan dan inklusif.

“Daripada yang bertugas di pejabat, di lapangan, di kota mahupun di desa, semuanya memainkan peranan penting dalam membina Malaysia yang lebih mampan dan inklusif,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pekerja menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para pekerja, termasuk usaha memperkukuh ekosistem kerja yang lebih adil, progresif dan berdaya saing.

“Kita mahu setiap titik peluh itu dibalas dengan peluang, pengiktirafan dan keadilan yang sewajarnya,” tambah beliau.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan pengorbanan warga pekerja yang disifatkan sebagai tidak ternilai, dan menyeru agar mereka terus menjadi tonggak kepada kemajuan negara.

“Teruslah menjadi tonggak kepada kemajuan Malaysia yang kita cintai ini. Selamat Hari Pekerja 2025!” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit