Terima Kasih Pengundi Dan Seluruh Jentera PRK Ayer Kuning – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 April – UMNO hari ini mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sekali lagi memberikan kepercayaan  kepada parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut Sabtu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada masa yang sama parti berkenaan juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN),  Mohamad Yusri Bakir.

“UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi Dun Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan BN sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja.

“UMNO juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti-parti komponen Barisan Nasional dan Friends of BN, juga rakan-rakan daripada Pakatan Harapan yang bekerja keras memenangkan calon BN,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di sini, malam ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut serta Naib-naib Presiden dan barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang lain.

BN mempertahankan kerusi pada PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan dalam saingan tiga penjuru, melibatkan Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dr Asyraf seterusnya menambah parti itu bersyukur dengan keputusan berkenaan selain memperlihatkan sokongan pengundi Melayu dan pelbagai kaum lain serta pelbagai peringkat.

“UMNO bersyukur dengan keputusan PRK DUN Ayer Kuning yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Melayu, pengundi pelbagai kaum dan pengundi di kalangan anak muda sekaligus membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki-hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit