Pas Amal Retorik Agama Tutup Kegagalan Sendiri – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menegaskan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh UMNO ‘mempersuci’ Dap bukan sahaja melucukan malah memperlihatkan betapa pendek ingatan politik Pas.

Tegasnya, kenyataan itu seolah-olah rakyat sudah lupa bahawa Pas sendiri pernah berpeluk mesra dengan Dap dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu dan sebelumnya ketika itu, tidak pula disebut Dap anti Islam.

“Pas bukan sahaja pernah ‘mempersuci’ Dap malah berkempen sepentas, sepakat dalam dasar bersama dan berjanji setia atas nama tahaluf siyasi.

“Kini apabila Dap tidak lagi menyebelahi mereka, tiba-tiba menjadi kafir harbi, anti Islam dan segala label buruk yang boleh dibayangkan. Ironi, bukan.

“UMNO tidak pernah naif untuk mempercayai sesiapa secara membuta tuli. Tetapi kami cukup matang untuk membezakan antara kerjasama politik yang strategik demi kestabilan negara dan retorik agama yang digunakan untuk menutup kegagalan politik sendiri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Hasmuni lagi mengenai isu ternakan babi haram yang hangat diperkatakan baru-baru ini perlu dilihat sebagai masalah penguatkuasa undang-undang bukan sebagai isu perkauman atau keagamaan.

“Isu ternakan babi haram, kalau benar berlaku, ia soal penguatkuasaan dan bukan isu kaum atau agama.

“Jangan mainkan sentimen rakyat semata-mata untuk tutup kelemahan selepas kalah Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Pas harus cermin diri. Dulu Dap dipuji, sekarang dicaci. Esok, siapa tahu, mungkin dipuji kembali bila terdesak kuasa,” ujarnya.

Ujarnya, politik lidah bercabang ini tidak lagi laku di mata rakyat yang semakin celik dan muak dengan hipokrasi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit