MINDEF Tekankan Peluang Kerjaya Kedua Bekas Anggota Tentera – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 30 April – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menekankan peluang kerjaya kedua bekas anggota tentera agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas tamat perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa satu pertemuan telah diadakan bersama TalentCorp pada Selasa.

“Mengadakan pertemuan dengan TalentCorp, sebuah agensi nasional di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diketuai oleh Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Wisma Pertahanan.

“TalentCorp adalah sebuah agensi yang diberi mandat memacu strategi negara menjadi hab bakat yang dinamik. Ia turut berperanan dalam menarik, memupuk dan mengekalkan bakat terbaik untuk memacu pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan soal untuk menangani cabaran, strategi dan inisiatif untuk melaksanakan usaha tersebut.

“Perbincangan hari ini tertumpu kepada peluang kerjaya kedua terbaik untuk bekas anggota tentera kita. Ini termasuklah dalam soal menangani cabaran, strategi, inisiatif serta pelaksanaan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha ini.

“MINDEF memberi penekanan peluang kerjaya kedua bekas anggota kita bagi memastikan kehidupan yang lebih baik setelah tamat perkhidmatan. Semoga pertemuan itu tadi membuka peluang yang lebih besar serta memanfaatkan bekas tentera kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit