Persidangan Cawangan: Kesetiaan Akar Umbi UMNO Terus Kukuh – Jeffery Nor

PUTATAN, 30 April – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, meluahkan rasa terharu dan bangga dengan sambutan luar biasa daripada ahli-ahli akar umbi semasa beliau merasmikan beberapa cawangan UMNO dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Petagas dan PDM Tengah Padang, baru-baru ini.

Menurut beliau, kehadiran ramai ahli parti membuktikan bahawa semangat setia kawan dan perjuangan dalam kalangan akar umbi masih utuh dan tidak dapat dinafikan, khususnya di kawasan PDM yang terlibat.

“Saya amat tersentuh dengan kehadiran dan sokongan padu yang diberikan oleh semua. Ini menandakan bahawa kesetiaan mereka terhadap perjuangan parti tetap kukuh walaupun dalam keadaan yang mencabar. Sejak tahun 2018, ramai yang tetap bersama saya walaupun saya bukan siapa-siapa dan ketika kami ditinggalkan serta dipergunakan,” katanya.

Jeffery turut menegaskan bahawa perjuangan ini adalah ikhlas demi rakyat Putatan, dan tidak akan sama sekali diperalatkan untuk kepentingan mana-mana individu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan bahagian, ketua-ketua PDM, ketua-ketua cawangan serta ahli-ahli yang hadir dalam majlis tersebut.

“Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada tuan rumah yang sudi menyediakan ruang untuk program berlangsung serta kepada semua sub dan staf bahagian yang membantu menjayakannya.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus bersama dalam perjuangan ini,” ujar beliau lagi.

Persidangan cawangan UMNO berlangsung bermula 7 April sehingga 25 Mei yang akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian bermula 9 Jun hingga 27 Julai.

Menyusul kemudian ialah Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79