Malaysia Ulangi Komitmen Teguh Bersama Rakyat Palestin, Keadilan Untuk Semua
KUALA LUMPUR, 30 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan Malaysia sentiasa komited dalam menyatakan sokongan kepada pembebasan rakyat Palestin.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
Katanya, perjuangan dibawa Malaysia itu adalah berdasarkan suara rakyat yang mahukan keadilan kepada penduduk Palestin yang dizalimi sejak sekian lama.
“Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan semua yang menjunjung hak asasi manusia dan nilai-nilai sejagat.
“Malaysia, melalui kehendak rakyatnya, mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk terus teguh di pihak kebenaran, kebebasan dan keadilan untuk semua,” katanya.
Prosiding pendengaran awam mengenai ‘Tanggungjawab Israel terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan antarabangsa lain, serta pihak ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) berlangsung dari 28 April hingga 2 Mei.
Untuk rekod ini merupakan penyertaan kali ketiga Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat ICJ berkaitan Palestin, selepas penglibatan terdahulu pada 2004 dan 2024.
Israel dilapor turut meluluskan undang-undang yang melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di OPT.
Malaysia berpandangan bahawa penasihat yang bakal diputuskan ICJ kelak sangat penting untuk membantu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan sewajarnya terhadap penjajahan haram Israel di wilayah Palestin. – UMNO Online