Bibi Sharliza Sokong Usaha Kerajaan… Masjid, Surau Perkasa Syiar Islam Dan Penyatuan Masyarakat
KUALA LUMPUR, 29 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid menyokong penuh inisiatif kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan lebih banyak dana untuk menaik taraf masjid, surau, elaun guru KAFA.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata ini kerana di kawasannya, masjid dan surau bukan sahaja sebagai tempat beribadat malahan sebagai pusat penyatuan masyarakat, pusat pendidikan dan kebajikan.
“Saya berharap agar lebih banyak program memperkasa syiar Islam diadakan termasuk memperbanyakkan aktiviti pendidikan agama untuk anak-anak muda, memperkasakan masjid warisan sebagai tarikan pelancongan serta mempertingkatkan lagi kemudahan infrastruktur masjid dan surau di kawasan luar bandar.
“Di kawasan saya sendiri ada sebuah masjid warisan di Kampung Terusan yang boleh dijadikan tempat persinggahan pelancong sambil dapat juga menambah pendapatan masyarakat setempat, saya mohon ianya tidak dipindahkan ke mana-mana kerana kampung ini sudah mula menjadi persinggahan pelancong-pelancongan.
“Saya juga ingin menyokong penambahbaikan elaun untuk guru KAFA, bilal, siak dan pembantu am wanita sebagai langkah untuk meningkatkan motivasi dan kesejahteraan mereka. Dengan adanya sokongan yang berterusan, kita dapat memastikan bahawa syiar Islam terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Bibi Sharliza berkata demikian ketika sesi perbahasan sempena Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan yang ke-15, semalam.
Mengulas lanjut kata beliau pelantikan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) yang baru juga telah memudahkan untuk pengendalian masjid di setiap DUN dengan lebih teratur dan baik.
“Saya memohon agar lantikan segera juga dibuat di surau-surau yang didaftar di bawah Jabatan Agama bagi memudahkan lagi pemantauan dan aktiviti dapat dilaksana dengan tadbir urus yang baik,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan pemerkasaan wanita dan kanak-kanak di samping menyifatkan ia sebagai agenda penting yang perlu difokuskan dalam pembangunan negeri.
Katanya program pemberdayaan wanita harus terus diperkukuhkan untuk meningkatkan peranan dan sumbangan mereka dalam masyarakat melaluii nisiatif seperti latihan kemahiran, sokongan keusahawanan dan program kesihatan wanita perlu diperluaskan.
“Bagi kanak-kanak program pendidikan yang komprehensif dan berkualiti harus disediakan untuk memastikan mereka mendapat peluang yang sama rata dalam pendidikan.
“Program kesihatan, kebajikan, keselamatan untuk kanak-kanak juga perlu diperluaskan untuk memastikan kesejahteraan mereka terjamin,” katanya lagi. – UMNO Online