Usaha Tingkatkan Akses Perolehan Beras Tempatan Diperluas – Jalaluddin
SEREMBAN, 28 April – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses perolehan beras tempatan melalui inisiatif penjualan Beras Perpatih menerusi Jualan Nismilan Prihatin.
Menurut beliau program jualan ini diadakan pada setiap pagi Jumaat di lapan kawasan Parlimen secara bergilir, dengan purata jualan sebanyak 300 kampit beras (5kg) pada harga RM13/kampit setiap minggu.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini menyediakan 48 tan beras dan memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 rakyat setiap bulan. Secara keseluruhannya, sebanyak 624 metrik tan beras telah dijual dalam Program Jualan Nismilan Prihatin sepanjang tempoh lebih kurang 13 bulan yang lalu.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan program jualan ini sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memperoleh bekalan beras pada harga yang berpatutan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Menerusi jawapan yang sama, beliau turut memaklumkan persoalan yang dibangkitkan ADUN Labu turut menyentuh mengenai perundangan berkaitan bidang kuasa Kementerian di peringkat Kerajaan Pusat.
“Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius isu ini dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan persekutuan untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini.
“Walaupun kuasa penguatkuasaan utama terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan integriti bekalan beras tempatan terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online