Sidang DUN Platfrom Kemuka Pandangan, Teliti Dasar Tingkatkan Kesejahteraan Rakyat

SEREMBAN, 28 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan platform penting untuk wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Mohd Zaidy menyeru semua untuk bersama-sama berbahas, mengemukakan pandangan dan meneliti segala dasar serta inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sebagaimana pepatah Melayu menyebut “bagai aur dengan tebing”, kita mesti bersatu dalam perbezaan, berbahas dalam adab dan bekerja dalam semangat muafakat demi kemakmuran negeri yang tercinta ini.

“Saya berharap persidangan ini akan melahirkan idea-idea segar, gagasan berani dan tindakan tuntas untuk membawa Negeri Sembilan melangkah dengan lebih cemerlang ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy turut memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, semua dapat hadir bersama dalam Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan yang ke-15 pada hari ini di sini.

“Marilah kita bersama-sama menjalankan amanah ini dengan penuh integriti, keikhlasan dan komitmen, demi rakyat yang mengharapkan yang terbaik daripada kita,” ujarnya lagi.

Selain itu, Mohd Zaidy juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar serta barisan pentadbiran kerajaan negeri atas usaha gigih dalam meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan ke arah mencapai negeri maju, makmur dan sejahtera menjelang tahun 2030. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit