Malaysia, Maldives Berhasrat Pelbagaikan Kerjasama Dalam Bidang Baharu
PUTRAJAYA, 28 April – Malaysia dan Maldives berhasrat mempelbagaikan kerjasama dalam bidang baharu termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan teknologi digital, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dengan menyatakan kedua-dua negara sebagai negara maritim, Anwar yang juga menteri kewangan berkata potensi untuk kerjasama adalah luas dan terus berkembang merentasi pelbagai sektor dalam semangat manfaat bersama.
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan, sukan dan kesihatan.
“Kini, ada bidang-bidang yang dianggap baru yang perlu kita tingkatkan kerjasama, termasuk solar terapung, pertahanan, dan digital,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Maldives Mohamed Muizzu sempena lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.
Lawatan Muizzu ke Malaysia buat kali pertama sejak menjadi presiden pada November 2023 atas jemputan Anwar.
Anwar berkata, dalam bidang pendidikan kerjasama dengan Maldives termasuk program kerjasama teknikal Malaysia (MTCP) kini diperluas kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“…kini ia diperluas kepada STEM, TVET dan pendidikan tinggi, pertukaran universiti, sukan, kesihatan.
“Seperti yang kita lihat, (hari ini) pertukaran nota dalam latihan diplomat, perundingan dua hala,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Muizzu, yang lantang menggesa masyarakat antarabangsa menegakkan kepentingan perlindungan alam sekitar.
“Kami bersama beliau dalam perkara ini dan kami mengikuti dengan penuh minat dan menyokong ekspresi tegas yang disuarakan oleh presiden itu,” katanya.
Anwar berkata, beliau juga sangat gembira dengan siri mesyuarat dengan Muizzu dan juga mesyuarat dua hala bersama menteri.
“Seperti yang anda lihat, kami dengan jumlah menteri yang ramai dari Maldives dan Malaysia, menunjukkan kepentingan yang kami letakkan terhadap jiran kami, walaupun agak jauh, tetapi sebuah negara yang indah,” katanya.
Sebelum itu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan dua pertukaran nota (EoN) yang merangkumi pelbagai sektor bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dalam semangat manfaat bersama.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Maldives meningkat sebanyak 4.3% kepada RM862.7 juta (USD189 juta) daripada RM827.3 juta (USD180.9 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu sebagai rakan dagang terbesar keenam Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. – BERNAMA