Wanita UMNO Sokong Penyelarasan Kemasukan SBP Dan MRSM Mulai 2026
KUALA LUMPUR, 23 April – Wanita UMNO Malaysia menyambut baik keputusan Kerajaan untuk menyelaraskan sistem kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang akan berkuat kuasa mulai Januari 2026.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad, dalam satu kenyataan berkata langkah yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, merupakan tindakan proaktif dalam memastikan proses kemasukan pelajar ke institusi berasrama lebih efisien, adil dan selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing.
“Melalui penyelarasan ini, ia akan dapat mengurangkan risiko pertindihan tawaran dan kekosongan tempat yang selama ini menyukarkan pengurusan sekolah dan menjejaskan peluang pelajar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, ibu bapa dan pelajar kini boleh membuat keputusan dengan lebih yakin tanpa perlu menunggu tawaran alternatif.
“Inisiatif ini juga akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar berkelayakan, terutama dari latar belakang sosioekonomi yang pelbagai, untuk menikmati pendidikan asrama berkualiti tinggi.
“Ini selari dengan komitmen Kerajaan untuk mencapai sasaran 70% pelajar SBP dan MRSM dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).”
Ujar Noraini, dengan pengurusan tawaran yang lebih teratur, perancangan pengambilan pelajar dapat dioptimumkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang kritikal, sekaligus menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.
“Kami berharap kolaborasi erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MARA melalui penyelarasan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi pendidikan demi masa depan anak-anak Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online