Tengku Haphiz Nafi Terbit Kenyataan Fitnah, Desak Akaun ‘Gema Biru’ Dibatalkan
KUALA TERENGGANU, 22 April — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera hari ini menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam sebarang kenyataan atau poster yang tular berkaitan dengan akaun media sosial dikenali sebagai Gema Biru.
Beliau menegaskan bahawa akaun tersebut adalah palsu dan tidak pernah mewakili Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO Terengganu secara rasmi.
Menurut beliau, pihaknya telah berulang kali membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak pengurusan Facebook untuk mengambil tindakan terhadap akaun berkenaan.
“Akaun Gema Biru ini jelas dimiliki oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam melalui fitnah serta poster palsu yang memaparkan wajah saya,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Tengku Haphiz juga menyeru agar pihak pentadbiran laman sosial, termasuk admin highlight Facebook, bertindak segera membatalkan akaun tersebut dan menyekat sebarang aktiviti yang boleh mencemar nama baik parti dan dirinya sendiri.
“Apa-apa perkongsian yang melibatkan poster palsu ini, saya mohon agar semua pihak segera memadamkannya,” tambah beliau. – UMNO Online