Ahmad Zahid Lepaskan Peserta ASEAN Unity Drive 2025, Proton e.MAS 7 Mulakan Jelajah Serantau

JAKARTA, 22 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini secara rasmi melepaskan peserta ASEAN Unity Drive 2025 dalam satu majlis penuh simbolik yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Majlis Flag-Off Ceremony ini menandakan permulaan kepada satu misi besar yang menyatukan negara-negara anggota ASEAN melalui simbol kemajuan teknologi, kelestarian dan semangat serantau.

Ujar Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman Facebooknya, misi ini akan membawa Proton e.MAS 7, kenderaan elektrik kebanggaan negara, menjelajah ke seluruh ASEAN sebagai duta kepada kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini.

Jelasnya, ASEAN Unity Drive 2025 bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas serantau, tetapi juga memperkukuh kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN melalui inovasi dan kelestarian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) atas peranan penting mereka dalam menjayakan inisiatif ini.

“Dengan semangat kesatuan ASEAN, marilah kita terus mara bersama menuju kemakmuran dan kesejahteraan yang inklusif buat seluruh rakyat rantau ini,” ujar beliau.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini ialah Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn; Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, TYT Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin; serta Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, PYT Datin Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit