Hadi Awang ‘Walid Versi Politik’, Pas Seleweng Agama Demi Kuasa – Dr Zaidi

SHAH ALAM, 22 April – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Zaidi Md Zain, mengkritik kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang didakwa mengutamakan kemenangan politik melebihi ibadah haji.

Dalam satu kenyataan media, Dr Zaidi menyifatkan kenyataan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan prinsip maqasid syariah, malah memperlihatkan satu bentuk penyelewengan agama yang bahaya apabila ia digunakan demi kepentingan politik sempit.

“Ia membuka ruang manipulasi agama dan menghalalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ yang jelas bertentangan dengan roh Islam yang sebenar,” katanya.

Beliau turut menyamakan tindakan Hadi Awang dengan watak ‘Walid’, iaitu karakter penunggang agama yang menyesatkan masyarakat dalam dunia hiburan, namun dalam konteks ini membawa implikasi yang jauh lebih besar apabila ia berlaku dalam realiti politik negara.

“Bezanya, Walid sesatkan akidah dalam layar perak, manakala Hadi Awang sesatkan amanah umat dengan ‘fatwa’ politik yang mengelirukan,” tegas beliau.

Dr Zaidi turut mengaitkan kenyataan terbaru itu dengan sejarah politik Pas yang menurutnya sarat dengan siri fatwa yang mengelirukan, termasuk insiden berdarah di Memali pada tahun 1985, yang didakwa berpunca daripada amanat Hadi pada tahun 1981 yang menyemarakkan isu kafir-mengkafir.

“Seruan beliau ketika itu sangat jahat, dan kini terbukti apabila beliau bersekongkol pula dengan musuh politik yang dahulu dilawan habis-habisan, kini dijadikan penasihat kerajaan negeri SG4,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Pas yang didakwa tidak lagi menjadikan agama sebagai panduan dalam berpolitik, sebaliknya menjual kesucian agama dengan harga yang murah demi mempertahankan kuasa.

Dr Zaidi juga membidas tindakan parti itu yang menyeru ahli-ahli mereka mengutip derma untuk membayar saman fitnah terhadap pemimpin mereka, tanpa menunjukkan rasa insaf terhadap perbuatan tersebut.

“Islam meletakkan fitnah sebagai perbuatan yang lebih besar dosanya daripada membunuh. Inilah bentuk penyelewengan agama yang paling bahaya, bertopengkan parti Islam tetapi hakikatnya memperdagangkan agama untuk agenda politik.”

Mengakhiri kenyataannya, Dr Zaidi menyeru umat Islam di Malaysia agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan mainan politik yang menggunakan agama sebagai alat.

“Fatwa tanpa integriti bukan panduan, tapi racun. UMNO akan terus menegakkan politik berlandaskan adab, ilmu dan prinsip Islam yang sebenar,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit