Pemakaian Jalur Gemilang Semai Patriotisme, Elak Insiden Cemar Berulang – Mohd Zaidy
SEREMBAN, 22 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyifatkan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar sekolah antara salah satu langkah berkesan dalam menyemai semangat patriotisme dan mengelakkan insiden mencemarkan identiti negara berulang.
Beliau berkata, usaha menanam nilai cintakan negara perlu dimulakan seawal mungkin agar generasi muda membesar dengan jati diri yang kuat serta rasa tanggungjawab terhadap tanah air.
“Pemakaian lencana Jalur Gemilang bukan sekadar simbol fizikal, tetapi lambang kepada penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta semangat cinta kepada negara. Ia mampu menjadi pemangkin dalam membentuk identiti nasional yang kukuh dalam kalangan pelajar.
“Apatah lagi baru-baru ini terdapat insiden memperlekeh bendera kebangsaan, sama ada secara sengaja atau tidak ia jelas mencemarkan maruah negara, malah turut mengguris perasaan rakyat dan mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, maka sewajarnya tindakan tegas dibuat sebagai pengajaran agar tak berulang,” katanya kepada UMNO Online sebagai mengulas berkaitan hal tersebut.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu, bermula semalam.
Ujar Mohd Zaidy, pengenalan pemakaian lencana tersebut secara berkala atau tetap boleh memupuk rasa bangga terhadap negara dan menyemai kesedaran bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam menjaga keharmonian dan kemajuan Malaysia.
“Maruah negara harus dipertahankan, dan Jalur Gemilang wajar diangkat dengan penuh rasa bangga dan hormat.
“Inisiatif kecil seperti ini mampu memberi impak yang besar. Apabila pelajar memakai lambang negara setiap hari, mereka lebih dekat dengan identiti kebangsaan. Ia juga boleh dijadikan salah satu elemen dalam modul pendidikan sivik pelajar,” ujar beliau.
Mohd Zaidy turut menganggap langkah ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membentuk warganegara yang berilmu, berakhlak, dan patriotik.
“Kita tidak boleh mengambil ringan soal pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak muda. Masa depan negara terletak di tangan mereka, dan jika semangat patriotisme disemai sejak bangku sekolah, mereka akan lebih bertanggungjawab sebagai warga Malaysia,” katanya lagi.
Beliau juga berharap agar masyarakat dan ibu bapa turut menyokong usaha-usaha seperti ini dengan memberi dorongan kepada anak-anak mereka supaya menghargai dan menghormati simbol negara, termasuk Jalur Gemilang. – UMNO Online