Ahmad Zahid Bincang Hal Ehwal Halal, Isu Serantau Dan Palestin Dengan Gibran

JAKARTA, 21 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan hal ehwal halal, tenaga kerja, nelayan, isu serantau dan Palestin semasa pertemuannya dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di sini pada Isnin.

Pertemuan produktif Ahmad Zahid dengan Gibran di Istana Wakil Presiden, Jakarta Pusat selama 45 minit itu diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Berkenaan hal ehwal halal, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai peluang kerjasama dalam sektor halal yang bernilai AS$1.3 trilion serta cabaran yang boleh ditangani bersama seperti penggunaan sijil halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Ulama Indonesia.

“Kita akan berkoordinasi dan mengadakan perbincangan terperinci bukan hanya dalam aspek pengeluaran produk halal, tetapi juga dari segi pemasaran,” katanya di sidang media selepas pertemuan itu.

Kedua-dua negara juga sepakat memperbaiki penyaluran pekerja dari Indonesia ke Malaysia melalui ‘One Channel System’ dan pengurusan nelayan yang menceroboh sempadan perairan melalui memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2012. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit