MARA Bakal Kembali Taja Pelajar Ke Universiti Al-Azhar Dalam Bidang Perubatan Dan Pergigian

KUALA LUMPUR, 21 April – Dalam satu perkembangan menggembirakan buat para pelajar yang bercita-cita menjadi doktor dan doktor gigi, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini mengumumkan hasil perundingan dengan Universiti Al-Azhar yang membuahkan hasil positif.

Ujarnya, yuran pengajian untuk pelajar perubatan MARA di universiti tersohor itu telah dikurangkan daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 bagi tempoh lima tahun.

“Inisiatif ini adalah hasil rundingan kami bersama pihak Universiti Al-Azhar kira-kira empat bulan yang lalu, dan Alhamdulillah, berita ini baru sahaja kami terima.

“Insya-Allah, saya akan arahkan MARA untuk segera menyiapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bagi dibentangkan kepada Majlis Jemaah Menteri,” katanya menerusi laman Facebooknya

Menurut beliau, langkah ini diambil untuk mengembalikan penghantaran pelajar dalam bidang perubatan dan pergigian ke Universiti Al-Azhar, yang suatu ketika dahulu menjadi destinasi utama pelajar Malaysia.

Dr. Asyraf turut menjelaskan bahawa pengiktirafan program perubatan dan pergigian Universiti Al-Azhar oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjadi satu lagi faktor penting dalam memperkukuhkan keyakinan terhadap usaha ini.

Jelasnya, tiga faktor utama mendorong keputusan ini:

1. Kos yang jauh lebih rendah berbanding universiti swasta dalam negara membolehkan lebih ramai pelajar mendapat tajaan, sekali gus meningkatkan bilangan doktor dan doktor gigi dalam kalangan Bumiputera.

2. Silibus unik Al-Azhar yang menggabungkan pengajian perubatan dengan subjek fekah berkaitan bidang tersebut, menjadikan pelajar bukan sahaja mahir dalam bidang klinikal, malah mempunyai asas kukuh dalam ilmu agama.

3. Syarat hafazan sekurang-kurangnya 5 juzuk Al-Quran, selari dengan aspirasi MARA untuk melahirkan generasi Ulul Albab – cendekiawan profesional yang juga berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit