Projek Skills Johor Di Kota Tinggi Hampir Siap, Mercu Tanda Baharu Pendidikan TVET
KOTA TINGGI, 21 April – Projek pembangunan Skills Johor di Kota Tinggi kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal mencecah 98.5%, menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ujarnya, dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM107 juta, institusi latihan teknikal dan vokasional itu dijangka mampu menampung sehingga 6,000 pelajar pada satu-satu masa.
“Syukur Alhamdulillah, walaupun berdepan cabaran pandemik, projek ini berjaya disiapkan dengan baik dan akan menjadi antara mercu tanda penting dalam usaha Johor membina ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang mampan dan bersepadu,” kata beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas meninjau kemajuan projek tersebut.
Menariknya, kata beliau, projek ini direalisasikan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan Kerajaan Negeri, hasil daripada model kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta yang berjaya diperkasakan.
“Skills Johor ini akan diletakkan di bawah penyelarasan Johor Talent Development Council (JTDC), yang berperanan sebagai pemacu kepada penyelarasan dasar pembangunan modal insan dan keperluan industri.
“JTDC memastikan pembangunan bakat Johor disepadukan dengan keperluan sebenar pasaran kerja yang sedang berkembang pesat di bawah pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
“JTDC juga sedang giat memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelabur dan pemain industri dalam zon strategik JS-SEZ. Dengan wujudnya hab kemahiran seperti ini, kita bukan sahaja menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjanjikan pendapatan lumayan dan masa depan stabil untuk anak muda Johor,” ujar Onn Hafiz lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa inisiatif ini mampu mengangkat Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, selain menyediakan laluan mobiliti sosial yang inklusif menerusi pendidikan kemahiran, latihan industri dan pembangunan bakat berfokus.
“Insya-Allah, usaha ini akan memberikan manfaat besar kepada seluruh rakyat Johor, terutamanya golongan belia yang menjadi aset utama masa depan negeri,” tambahnya. – UMNO Online