DUN Pahang Zahir Ucapan Takziah Pemergian Pak Lah
KUANTAN, 21 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Ucapan itu disampaikan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, yang menyatakan pentadbiran Allahyarham menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif penting termasuk konsep Islam Hadhari dan penubuhan
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“Allahyarham mengemudi perubahan besar dalam landskap pentadbiran negara, termasuk menyaksikan peralihan pucuk kepimpinan yang lama berlangsung. Jasa dan bakti Allahyarham Abdullah akan sentiasa dikenang rakyat tanpa mengira latar belakang politik,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 85 tahun.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. – BERNAMA