Veteran UMNO Bidas Kenyataan Abdul Hadi, Gesa Henti Rosakkan Akidah
KUALA LUMPUR, 22 April – Veteran UMNO membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang disifatkan boleh merosakkan akidah pengikutnya dan menggesa beliau bertaubat dengan segera.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan terbaharu Abdul Hadi yang menyeru pengundi di Ayer Kuning agar menangguhkan pemergian ke Mekah demi mengundi calon Perikatan Nasional (PN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini sebagai keterlaluan dan memalukan apabila menyeru pengundi Ayer Kuning menangguhkan ibadah haji semata-mata untuk mengundi calon PN.
“Abdul Hadi terdesak untuk mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning untuk mengundi calon PN. Tidak menghairankan kerana Abdul Hadi dan Pas akan menunggang apa saja demi kuasa.
“Seruan Abdul Hadi supaya pengundi Ayer Kuning menangguhkan pemergian ke Mekah untuk menunaikan haji dan mengutamakan pengundian adalah kenyataan ‘unislamic’. Contoh yang dipetik Rasulullah SAW telah menangguhkan pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji adalah tidak tepat kerana waktu itu Nabi berada dalam keadaan berperang dengan musyrikin Quraish di Mekah.
“Helah Nabi adalah berhikmah dan berstrategi dalam keadaan orang Islam yang lemah. Abdul Hadi juga tidak tahu tarikh penerbangan pertama jemaah haji ke tanah suci tahun ini pada 29 April iaitu selepas hari mengundi pada 26 April,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah. – UMNO Online