Tidak Semua Parti Politik Mampu Bertahan Lama – Dr Salleh Said
KOTA BELUD, 19 April – Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa tidak semua parti politik mampu bertahan lama dalam landskap politik negara, terutama di Sabah yang menyaksikan pertukaran dinamik kuasa dan sokongan rakyat.
Menurut beliau, parti politik seharusnya menjadi platform untuk membawa perubahan sama ada melalui pembentukan kerajaan, memperjuangkan dasar tertentu atau menyuarakan kehendak rakyat.
Namun begitu, katanya, realitinya banyak parti tenggelam selepas hanya satu atau dua pilihan raya.
“Antara punca utama kegagalan parti ialah ketiadaan sokongan akar umbi. Parti politik yang kuat memerlukan jentera yang bekerja keras, bukan sekadar pemimpin di atas pentas,” katanya dalam satuhantaran di laman Facebooknya.
Dr Salleh turut menyentuh isu hala tuju parti yang kabur dan tidak jelas kerana terdapat parti yang hanya mengulangi slogan seperti “parti kerajaan” atau “parti pembangunan”, namun tidak mampu menjelaskan dengan tuntas perjuangan sebenar mereka.
“Di Sabah, kita telah melihat parti yang kelihatan gah untuk seketika, tetapi akhirnya gagal kerana tidak membawa sesuatu yang berbeza,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa rakyat hari ini menilai lebih daripada sekadar janji pembangunan kerana faktor seperti kestabilan, integriti kepimpinan, dasar kebajikan, perpaduan dan kebolehan memahami realiti kehidupan rakyat menjadi penilaian utama pengundi masa kini.
“Konflik dalaman juga menjadi racun kepada kelangsungan parti. Apabila terlalu ramai yang ingin menjadi ‘boss’, arah perjuangan menjadi celaru dan rakyat mula bosan melihat perbalahan berterusan,” ujarnya.
Dr Salleh juga mengingatkan bahawa kepercayaan rakyat adalah aset paling penting bagi sesebuah parti politik.
“Sekali ia hilang, sukar untuk dipulihkan. Malah, parti yang terlalu bergantung kepada tokoh tertentu berisiko tenggelam sekiranya tokoh tersebut tidak lagi relevan atau kehilangan sokongan.”
Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa masa akan menentukan parti mana yang benar-benar berjuang untuk rakyat dan parti mana yang hanya mengejar kuasa.
“Parti mesti ada asas yang kukuh, hala tuju yang jelas dan kepimpinan yang diyakini. Tanpa itu, ia hanya akan jadi sejarah,” katanya lagi. – UMNO Online