ADUN Pantai Manis Tegur Kelewatan Tangani Isu Rakyat Di Sabah, Masih Kritikal

KOTA KINABALU, 18 April —Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah menutup tirainya semalam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd Tamin bin Zainal kembali membangkitkan semula beberapa isu kritikal yang telah lama membelenggu kehidupan rakyat.

Dalam ucapan perbahasannya, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan tindakan pihak berwajib dalam menangani isu keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan kemudahan jalan raya.

“Air adalah keperluan asas. Tanpa air, kehidupan tidak dapat diteruskan. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa kepada kelemahan sistem pemerintahan yang hanya manis di bibir sahaja,” katanya.

Menurut beliau, antara isu utama yang sering dibangkitkan adalah keadaan jalan raya yang rosak teruk, berlubang dan tidak diselenggara dengan baik.

“Keadaan jalan raya ini begitu menyedihkan, seolah-olah tiada nilai di mata pihak yang bertanggungjawab. Apa gunanya kita bercakap soal projek-projek mega sekiranya kemudahan asas seperti ini masih di tahap yang amat mendukacitakan,” tambahnya.

Mohd Tamin turut menzahirkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku termasuklah di kawasan Papar, yang menurutnya telah menjejaskan rutin harian penduduk.

Beliau juga menyentuh krisis bekalan air bersih yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada penduduk, sekolah, hospital dan premis perniagaan.

“Apa yang membimbangkan saya, apabila loji rawatan dihentikan operasinya, bekalan air bersih ke rumah, sekolah, hospital dan kemudahan awam akan terganggu serta-merta,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa penduduk yang tinggal tidak jauh dari Kota Kinabalu masih berdepan dengan krisis air seolah-olah tinggal di kawasan pedalaman.

Mohd Tamin menggesa agar kerajaan negeri mengambil isu ini sebagai satu krisis yang perlu ditangani segera dengan perancangan menyeluruh meliputi pelan jangka pendek dan panjang, termasuk penambahbaikan sistem rawatan air, pengurusan sumber air mentah, takungan dan penyelenggaraan sungai.

Beliau menamatkan ucapan dengan harapan agar suara rakyat didengari dan diberi tindakan sewajarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit