Iltizam Terus Junjung Titah Sultan Untuk Kepentingan Negeri Dan Rakyat – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 18 April – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan terus menjunjung iltizam titah Sultan negeri berkenaan, Al-Sultan Abdullah dalam usaha memastikan negeri tersebut ditadbir dengan sebaiknya.
Menurut beliau titah Sultan Pahang ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pagi tadi akan djunjung sebaiknya demi kepentingan negeri serta seluruh rakyat.
“Patik merafak sembah dan menjujung setinggi-tinggi kasih ke sisi Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah serta ke-bawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas perkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri Wisma Sri Pahang, sebentar tadi.
“Sesungguhnya patik serta pacal-pacal Kerajaan ke-bawah Duli Paduka Baginda Tuanku akan terus beriltizam menjunjung segala titah perintah Baginda Tuanku bagi memastikan negeri Pahang Darul Makmur ini diurus tadbir dengan penuh tanggungjawab, amanah dan dinamik terutamanya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta pembangunan negeri ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Wan Rosdy seterusnya berharap Negeri Pahang akan terus dilimpahi dengan rahmat serta sejahtera dan seluruh rakyat hidup dalam suasa yang sebainya.
“Semoga negeri Pahang Darul Makmur terus aman, sejahtera, harmoni dan sentosa di bawah pemerintahan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta dilimpahi dengan rahmat serta keberkatan Allah SWT,” ujarnya. – UMNO Online