Tak Masuk Akal Silap Papar Bendera Malaysia, UMNO Bukit Bintang Desak Tindakan Tegas
KUALA LUMPUR, 17 April — Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menyifatkan sebagai tidak masuk akal apabila sebuah akhbar tempatan terlepas pandang melakukan kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam penerbitan terkini mereka.
Menurut beliau, alasan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) adalah tidak boleh diterima sama sekali memandangkan proses penerbitan profesional sewajarnya melalui tapisan dan semakan rapi (proofreading) sebelum disiarkan kepada umum.
“Ini satu kesalahan yang sangat serius. Kalau dahulu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah menggantung lesen percetakan syarikat akhbar yang melakukan kesalahan serupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa bendera negara adalah lambang identiti dan kedaulatan, serta membawa makna simbolik yang penting termasuk bulan sabit berwarna kuning yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Sebagai akhbar berpengalaman yang telah beroperasi hampir 96 tahun sejak 1929 dan dilesenkan oleh KDN, kesilapan seperti ini tidak seharusnya berlaku.
“Jika kesilapan fakta boleh membawa kepada tindakan saman, maka memperlekehkan Jalur Gemilang yang menjadi identiti negara patut dipandang lebih berat,” tegas beliau lagi.
Tengku Azman menggesa agar KDN mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat penerbitan terbabit agar menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih peka terhadap simbol-simbol kenegaraan. – UMNO Online