UMNO Kepong Tempelak Silap Papar Jalur Gemilang, Hina Simbol Negara

KUALA LUMPUR, 18 April – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman memandang serius kesilapan akhbar Cina tempatan, Sin Chew Daily yang telah menyiarkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit .

Tegasnya, ia adalah satu simbol yang bukan sahaja mewakili Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga menggambarkan identiti dan asas pembentukan negara ini.

“Ini bukan sekadar ‘kesilapan teknikal’ seperti yang cuba dijelaskan. Ia adalah penghinaan terhadap simbol negara, dan lebih membimbangkan, ia berlaku dalam sebuah akhbar yang telah lama beroperasi di Malaysia.

“Kita tidak boleh biarkan insiden seperti ini berlalu dengan hanya permohonan maaf. Ini bukan kali pertama bendera Malaysia dipermainkan atau disalah cetak.

“Dalam sejarah, ada pelbagai insiden yang melibatkan pengibaran bendera terbalik, penggunaan simbol bendera untuk produk yang menghina, dan semua itu berakhir dengan sekadar ‘maaf dan tutup kes’,” katanya.

Tambah Abdul Razak, Malaysia ini dibina atas asas hormat-menghormati tapi apabila ada pihak yang gagal menghormati simbol rasmi negara, maka mereka sudah melanggar sempadan perlembagaan dan semangat patriotik yang kita junjung selama ini.

“Kalau sebuah akhbar tak mampu menghormati bendera negara, bagaimana kita nak percaya mereka membawa suara rakyat Malaysia.

“Saya berdiri teguh bersama rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Bendera kita, maruah kita. Jangan dikompromi,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri dan pihak berwajib untuk;

1. Menggantung serta-merta penerbitan Sin Chew Daily sebagai isyarat tegas bahawa simbol negara bukan mainan.
2. Menarik balik lesen penerbitan mereka jika didapati cuai secara berulang atau sengaja.
3. Menjadikan ini satu garis merah dari mana-mana pihak, tidak kira siapa, tidak boleh sesekali menghina Jalur Gemilang.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan dua pengurusan kanan Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka hadapan akhbar itu.

Proses merakam keterangan dilakukan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 1 tengah hari ini.

Keterangan kedua-duanya diambil memandangkan mereka yang meluluskan gambar bendera, selain salah seorang adalah pereka grafik ilustrasi gambar bendera terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit