Cadangan MRSM Kepala Batas Kepada MRSM Tun Abdullah Badawi Disokong
KUALA LUMUR, 17 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan menamakan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ini kerana katanya, penjenamaan ini amat wajar dan sarat dengan nilai penghargaan terhadap jasa besar Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia ke lima khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan Modal Insan untuk negeri Pulau Pinang dan juga untuk negara Malaysia.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar pemimpin nasional, tetapi juga seorang negarawan berjiwa pendidik. Beliau pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 1984 hingga 1986, dan ketika itu telah menekankan kepentingan pendidikan seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi, serta pengukuhan sahsiah pelajar.
“Beliau percaya bahawa pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik tetapi alat untuk membentuk insan yang beriman, berakhlak, dan bertanggungjawab kepada nusa bangsa dan negara.
“MRSM Kepala Batas yang telah beliau rasmikan pada 29 Mac 2009, menjadi bukti kepada iltizam dalam membangunkan institusi pendidikan berkualiti tinggi di kawasan Parlimen yang diwakilinya sejak 1978.”
Lebih membanggakan, katanya, MRSM ini juga merupakan institusi pertama di Pulau Pinang yang melaksanakan Program Ulul Albab dan satu inisiatif yang mencerminkan visi Tun Abdullah atau lebih disenangi dengan panggilan Pak Lah, dalam menggabungkan penguasaan ilmu moden dengan penghayatan Islam yang mendalam termasuk penghafazan Al-Quran.
Mengulas lanjut Aliff Hilmi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera berkata penjenamaan MRSM kepada nama Tun Abdullah Badawi akan mengabadikan legasi dalam dunia pendidikan.
“Penjenamaan MRSM kepada nama Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja akan mengabadikan legasi dalam dunia pendidikan malah menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk mencontohi keperibadian beliau yang tenang, berintegriti dan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Ini juga menjadi pemangkin untuk MRSM terus melahirkan barisan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga luhur akhlaknya dan tinggi idealismenya,” katanya lagi.
Aliff Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas inisiatif menamakan Lebuh Raya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Badawi, yang melambangkan pengiktirafan menyeluruh terhadap jasa beliau di luar batasan politik.
Ujarnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang meninggalkan legasi ilmu, nilai dan jiwa rakyat. Al- Fatihah untuk Almarhum.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.
Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.Abdullah yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’ meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN). – UMNO Online