Wanita UMNO Kecam Penyiaran Jalur Gemilang Tidak Lengkap, Desak Tindakan Tegas
KUALA LUMPUR, 17 April – Wanita UMNO Malaysia mengecam keras tindakan sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab serta mencemar simbol kedaulatan negara.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penggunaan bendera negara secara tidak betul bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut mengguris sensitiviti rakyat serta memberi kesan terhadap perpaduan dan identiti nasional.
“Wanita UMNO Malaysia mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap akhbar terbabit agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuai atau sengaja menghina simbol kebangsaan,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Dr. Noraini, kesilapan seperti itu tidak boleh dipandang ringan kerana Jalur Gemilang merupakan lambang maruah dan kedaulatan Malaysia.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan beberapa langkah proaktif melibatkan aspek pendidikan, penguatkuasaan, dan kesedaran awam supaya insiden serupa tidak berulang.
“Kerajaan perlu mengeluarkan satu garis panduan khusus yang lebih terperinci serta mudah diakses mengenai penggunaan simbol negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara,” katanya.
Garis panduan tersebut, tambah beliau, bukan semata-mata untuk mengenakan hukuman, tetapi lebih kepada pendidikan dan pencegahan supaya rakyat dan pihak swasta memahami batasan penggunaan lambang-lambang rasmi negara.
Tegas beliau lagi, usaha ini penting bagi memastikan keharmonian negara sentiasa terpelihara dan identiti kebangsaan terus dihormati oleh semua lapisan masyarakat. – UMNO Online