Onn Hafiz Junjung Kasih Titah Tunku Mahkota, Komited Jayakan Johor Maju 2030
JOHOR BAHRU, 17 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas keprihatinan, sokongan dan panduan berterusan yang diberikan dalam mentadbir negeri Johor.
Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa kepimpinan kerajaan negeri akan terus menjunjung titah dan amanah yang diberikan oleh Tunku Mahkota Ismail sebagai panduan utama dalam merangka dasar serta pelaksanaan inisiatif kerajaan.
“Patik dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus menjadikan amanah ini sebagai panduan dalam setiap dasar dan tindakan, agar setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan mengangkat Johor sebagai negeri yang maju dan berdaya saing,” katanya.
Onn Hafiz turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sektor swasta serta seluruh Bangsa Johor atas kerjasama padu yang telah diberikan dalam merealisasikan visi Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Katanya lagi, kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu semua pihak yang sentiasa bersama dalam usaha menjadikan Johor sebagai negeri yang cemerlang di persada nasional dan antarabangsa.
Dilaporkan semalam, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu hantaran di Facebook bertitah, pencapaian Johor yang telah mencatat pelaburan berjumlah RM27.4 bilion bagi suku pertama tahun 2025 membuktikan kesungguhan semua pihak dalam menjadikan negeri terbabit sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Baginda turut menegaskan komitmen untuk memastikan tahap pendidikan di negeri Johor terus dipertingkat selaras dengan aspirasi kemajuan menyeluruh rakyat dan negeri. – UMNO Online