Permudahkan, Jangan Rumitkan Kemasukan Ke Sidang DUN Sabah – Dr Anil
KUALA LUMPUR, 16 April – Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu melahirkan kekecewaan berhubung akses ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang menimbulkan kerumitan di kalangan rakyat.
Bagi beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, akses untuk rakyat mengikuti perjalanan sidang DUN negeri berkenaan seharusnya dipermudahkan mengikut prosedur keselamatan yang sewajarnya.
“Saya ingin menarik perhatian pihak berkenaan mengenai isu akses ke DUN Sabah. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, kawalan ketat ke atas kemasukan ke DUN adalah difahami bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, dalam suasana negara sudah beralih ke fasa endemik, pendekatan ini wajar disemak semula. Ketika saya hadir ke DUN untuk mengikuti perbahasan hari pertama dan hari kedua, saya menerima banyak aduan daripada orang awam yang mengalami kesukaran mendapatkan pas masuk.
“Ramai yang datang dari jauh semata-mata untuk mendengar perbahasan wakil rakyat, namun terpaksa pulang hampa kerana halangan birokrasi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata beliau lagi situasi berkenaan berbeza dengan Dewan Rakyat di Parlimen apabila proses untuk memasuki bangunan jauh lebih mudah, teratur dan mesra rakyat, dengan syarat prosedur keselamatan dipatuhi.
“Saya berpendapat, DUN adalah institusi rakyat, bukan institusi eksklusif untuk wakil rakyat semata-mata. Memang ada akses untuk pegawai-pegawai kakitangan setiap wakil rakyat namun sebaiknya dibuka juga untuk orang ramai kalau soal hidangan makanan boleh juga difikirkan untuk buka gerai jualan.
“Maka sewajarnya akses ke DUN dipermudahkan supaya rakyat dapat menyaksikan sendiri proses demokrasi berjalan dengan telus dan terbuka. Keterbukaan ini bukan sahaja membina keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi, malah dapat menggalakkan masyarakat untuk lebih cakna terhadap isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” ujarnya.
Ujar beliau lagi DUN bukan tempat yang harus ‘tertutup’ dan menjarakkan diri daripada rakyat.
“Saya juga mencadangkan supaya satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan mesra rakyat diperkenalkan termasuk permohonan pas pelawat secara dalam talian, kuota khas untuk pengunjung harian, serta hebahan maklumat yang lebih awal dan menyeluruh kepada orang awam.
“Setiap individu yang hadir sudah tentu perlu mematuhi kod pakaian, menjalani saringan keselamatan, dan menghormati tatacara Dewan.
“Dengan syarat ini dipenuhi, tiada sebab untuk menghalang rakyat mendengar perbahasan secara langsung. Pandangan saya ini bukan bertujuan untuk mengkritik cuma satu cadangan untuk membina dan menambah baik.
“Oleh itu, saya meminta agar tindakan segera diambil oleh pihak berwajib untuk memperbaiki prosedur ini demi memastikan prinsip ketelusan, keterbukaan dan kebebasan rakyat untuk mengakses institusi demokrasi terus dipertahankan,” tambahnya. – UMNO Online