Sambutan Aidilfitri Cerminkan Perpaduan Dan Nilai Murni – Ariff Majid
PADANG RENGAS, 16 April — Suasana ceria dan penuh kemeriahan menyelubungi Sekolah Kebangsaan Sauk apabila warga sekolah itu bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah pagi ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid menyifatkan sambutan tersebut sebagai satu pengalaman yang bermakna serta mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan warga sekolah.
“Alhamdulillah, saya amat terharu dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri dengan warga Sekolah Kebangsaan Sauk. Suasana pagi ini benar-benar menghidupkan jiwa dan anak-anak tersenyum ceria, para guru penuh semangat dan seluruh sekolah dipenuhi aura kekeluargaan.
“Syabas kepada warga SK Sauk. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyemai kasih sayang, memperteguh ikatan, dan membentuk insan berbudi serta berjasa. Inilah wajah sebenar pendidikan dan benar-benar menyentuh hati serta membentuk jiwa,” katanya.
Ariff yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas turut merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan mesra yang diberikan, sambil memuji penganjuran majlis yang disifatkan sebagai bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi juga satu wahana memperkukuh silaturrahim dan membentuk nilai murni dalam diri generasi muda.
“Terima kasih atas jemputan dan layanan mesra yang amat saya hargai. Syabas buat SK Sauk atas penganjuran yang begitu bermakna dan menggembirakan.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Moga kemeriahan ini terus menyemai kasih sayang, memperkukuh silaturrahim, dan membentuk insan yang berbudi serta berjasa,” tambah beliau lagi.
Majlis yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti jamuan hari raya, persembahan murid, dan sesi bergambar raya itu berjaya mengukir kenangan manis buat semua yang hadir.
Ujarnya, suasana ibarat satu keluarga besar, iaitu semangat Aidilfitri jelas terasa dalam setiap senyuman dan pelukan yang terjalin.
“Sambutan sebegini dilihat mampu menjadi medium penting dalam membina sahsiah pelajar serta merapatkan hubungan antara guru, murid dan komuniti serta selaras dengan matlamat pendidikan holistik yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.” – UMNO Online