Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Satu Pengkhianatan… Razlan Tuntut Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 16 April – Jalur Gemilang bukan sekadar bendera sebaliknya ia adalah darah perjuangan, lambang perpaduan dan semangat sebuah negara merdeka yang tidak boleh dipermainkan. 

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii ekoran tindakan tidak bertanggungjawab oleh akhbar Sin Chew Daily yang telah menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang dianggap sama sekali tidak boleh diterima.

“Jalur Gemilang adalah simbol kontrak sosial kita. Di dalamnya tersemat semangat Perlembagaan, kesepakatan kaum dan identiti negara. Hilangnya satu elemen… hilanglah maksud dan makna kebangsaan.

“75 tahun Jalur Gemilang berkibar megah, 68 tahun tanah ini telah merdeka. Editor Sin Chew Daily harus sedar, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan perjuangan rakyat Malaysia menentang penjajahan. Ia bukan sekadar kain berjalur, tetapi panji yang membawa maruah negara.

“Ini negara Malaysia. Tidak masuk akal jika mereka yang bekerja di Sin Chew Daily langsung tidak mengenali rupa sebenar Jalur Gemilang melainkan mereka sendiri sudah hilang semangat ‘nasionalisme’,” katanya.

Mengulas lanjut Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata bulan sabit yang hilang dari imej tersebut bukan sekadar kesilapan rekaan dan ia adalah lambang Perlembagaan Malaysia.

“Bulan sabit yang hilang dari imej tersebut bukan sekadar kesilapan rekaan, ia adalah lambang Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Ini bukan soal teknikal semata-mata dan kita sedang menyentuh perkara asas kenegaraan.

“Lebih membimbangkan, insiden ini berlaku dalam suasana politik yang sedang panas, di mana isu 3R iaitu Raja, Agama dan Kaum sedang dimainkan secara sengaja oleh pihak pembangkang yang tanpa henti menabur fitnah dan dakyah terhadap kerajaan, demi meracuni pemikiran rakyat,” ujarnya.

Maka kata, Razlan lagi, tindakan seumpama ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh dan ia adalah pengkhianatan terhadap simbol negara.

“Ini bukan kali pertama dan untuk itu, tiada lagi ruang untuk dimaafkan. Satu tindakan tegas wajar dikenakan terhadap editor yang bertanggungjawab dan dicadangkan lesen penyiaran Sin Chew Daily ditarik serta-merta sebagai amaran keras kepada mana-mana pihak yang mempermainkan lambang negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit