MARA Tubuh Dua Pasukan Khas Laksana Pelan Transformasi Menyeluruh – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 14 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, telah menubuhkan dua pasukan khas (Task Force) bagi melaksanakan Pelan Transformasi MARA secara menyeluruh.
Ujar Dr Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO, pasukan pertama diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, yang juga merupakan Ahli Majlis MARA dengan tumpuan kepada aspek Tadbir Urus Kewangan, Disiplin Kewangan, pelaburan serta pengurusan organisasi MARA.
Sementara itu, katanya, pasukan kedua diketuai oleh tokoh ekonomi dan pendidikan, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara dengan fokus utama pasukan adalah untuk memperkasa agenda pembangunan usahawan dan pendidikan Bumiputera.
Menurut Dr. Asyraf Wajdi, MARA komited untuk membuat pelaporan awam secara telus dan berkala terhadap hasil pelaksanaan pelan transformasi tersebut, bagi membolehkan ia dinilai dan ditambah baik secara berterusan oleh semua pihak.
“MARA adalah amanah orang Melayu-Bumiputera. Justeru, pelan ini mestilah dilaporkan dan didedahkan kepada khalayak agar institusi bangsa ini sentiasa disemak imbangkan dan dipertanggungjawabkan atas apa jua pencapaian yang diperolehi,” katanya menerusi maklum balas dalam laman Facebooknya, hari ini. – UMNO Online