PRK: Jangan Beri Peluang Kepada Pembangkang – Ahmad Zahid
TAPAH, 12 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk tidak memberi peluang kepada pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana PRK sebagai langkah penting untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.
“Ingat mungkin 33 kerusi DUN tidak ada benda tetapi orang sana (pembangkang) yang hendak bertanding lagi sasarannya bukan sekarang.
“Sasaran mereka PRU16, berapa lama lagi pilihan raya? Paling-paling lama dua tahun setengah. Mungkin juga dua tahun lagi sudah pilihan raya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada Himpunan JPKK bersama Timbalan Perdana Menteri Di Kompleks Sukan Tapah hari ini, turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, beliau berkata Perikatan Nasional (PN) dilihat meniru langkah diambil BN apabila turut mengetengahkan calon yang mempunyai latar belakang agama.
“Dia kata letakkan ustaz kerana calon kita ustaz… dia rasa dirinya menang. Jangan bagi peluang mereka menang,” ujar beliau.
Terdahulu calon BN, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir berdepan dengan dua saingan antaranya daripada Abdul Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online