PRK Ayer Kuning: Gelombang Biru Iringi Calon BN, Dr Ustaz Yusri

TAPAH, 12 April – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Dr Ustaz Yusri Bakir, 54, dimeriahkan dengan gelombang biru yang mengiringi beliau ke pusat penamaan.

Penyokong dan pendukung BN yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum serta seluruh pimpinan parti tiba awal pagi untuk sama-sama menyemarakkan proses penamaan calon sempena PRK ini.

Bersama mengiringi ialah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Naib-naib Presiden UMNO; Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan kepimpinan UMNO pelbagai peringkat serta para penyokong BN.

Turut serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Saravanan bersama kepimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi ini dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Dr Ustaz Yusri merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh.

Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari UPSI dan turut bergiat aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Tapah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit