Bukan Masa Bernostalgia, Bertindak Demi Masa Depan Negeri Sabah – Pemuda UMNO Kota Belud

KOTA BELUD, 11 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Belud, Samri Moksan, menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh terus terperangkap dalam nostalgia kejayaan lampau, sebaliknya perlu segera mengambil langkah berani dan strategik bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rakyat, khususnya golongan muda.

Menurut beliau, tumpuan utama ketika ini adalah kepada usaha mencipta peluang pekerjaan yang mampan bagi membina generasi muda yang berkerjaya dan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri mesti memfokus kepada penyelesaian tuntas isu pengangguran dalam kalangan belia, yang merupakan aset penting negeri. Masa depan kita bergantung kepada bagaimana kita membentuk mereka hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan keperluan untuk menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan sistem logistik yang sering kali menjadi rungutan rakyat dan menghambat pembangunan.

Samri turut menggesa agar dasar-dasar transformasi yang strategik dan berpandangan jauh diperkenalkan, bagi meneroka potensi baharu dalam sektor ekonomi seperti industri maritim, perikanan serta pertanian moden yang bersifat lestari dan menguntungkan.

Beliau juga menyokong penuh saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, agar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dijadikan teras kepada pembangunan modal insan di peringkat negeri.

“TVET adalah kunci untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga memiliki kemahiran yang tinggi dan relevan dengan keperluan industri masa kini dan masa hadapan,” katanya lagi.

Jelas beliau, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih proaktif dan tidak hanya bergantung kepada kejayaan silam sebagai penanda aras.

“Masa ini adalah untuk bertindak, bukan bernostalgia. Kita harus memacu negeri ini ke arah masa depan yang lebih progresif dan sejahtera,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit